Pembikinan Misha Omar (album 2008)

Album ini mengambil masa agak lama untuk disiapkan sehingga peminat keliru sama ada ia album baru atau album kompilasi. Ini disebabkan kecenderungan Misha menghasilkan single kemudian disusuli album baru. Konsep delay-released ini akhirnya menjadi trend apabila ramai penyanyi selepas itu mengikut strategi pemasaran sebegini seperti Faizal Tahir, Stacy dan Alyah malahan penyanyi tersohor seperti Siti Nurhaliza. Melalui Misha Omar impian penyanyi jelita ini menjadi kenyataan apabila berpeluang bekerjasama dengan pengarah muzik terkenal, Ramli MS, yang dikaguminya sejak sekian lama walaupun bayaran dikenakan agak tinggi berbanding penerbit lain. Sesudah banyak kali bekerjasama untuk persembahan konsert dan pentas, Misha memberanikan diri merisik Ramli untuk menjadi penerbit album ketiganya ini. Dengan persetujuan Sony BMG, mereka sanggup melabur jumlah yang tinggi untuk memastikan album Misha Omar ini mencapai standard yang diinginkan. Pun begitu, pada awalnya Ramli memberitahu jadi penerbit album kerja yang buang masa, lebih-lebih lagi beliau sangat sibuk, namun setelah memikirkan bahawa Misha mempunyai potensi yang tinggi untuk digilap, beliau sudi untuk menjadi penerbit album ini.

Kelewatan Misha Omar disiapkan juga disebabkan mahu menunggu masa terluang Ramli untuk menerbitkan album itu memandangkan jadual hariannya yang dipenuhi pelbagai aktiviti seni di dalam dan luar negara. Namun, Misha tidak patah semangat dan terus menunggu sehinggalah kesemua lagu dapat dirakamkan. Selain mengambil masa yang lama ketika mahu mengumpul material. Ramli menerusi pengamatan Misha adalah seorang yang mementingkan kesempurnaan dan ketelitian. Misha turut mengakui tidak kisah menunggu lama dan terpaksa berbelanja besar untuk Misha Omar kerana ia memuaskan hatinya, malah menganggap album ketiganya itu sebagai album terbaik pernah dihasilkannya sepanjang sedekad menceburi bidang nyanyian. Yang penting katanya, beliau tidak akan menyesal kalau tidak lagi berpeluang atau mengambil masa lebih lama untuk menghasilkan album selepas ini kerana album ini bukan sekadar memuatkan lagu, sebaliknya karya penterjemahan hebat berserta transformasinya yang akan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.

Bermula dengan produksi Ku Seru yang diterbitkan oleh Roslan Aziz, album ini sebenarnya mula sekali digerakkan menerusi rakaman lagu fenomena Nafas Cahaya pada pertengahan 2006 selepas 3 bulan Misha menunggu komposer ternama M. Nasir memberikan lagu berhantu tersebut. Seterusnya, Ramli menerbitkan lagu Sembunyi dan Jawapanmu sebelum album ini benar-benar dihasilkan dalam bentuk fizikal pada 3 Disember 2008. Ketika-tiga single terawal itu sebelum ini hanya dijual menerusi digital dan juga diputarkan di radio.